KUMPULAN NASYID SKSR 2010/2011 : SHAUTUL IKHWAN......

Wednesday, August 5, 2009

PENDAHULUAN

Program j-QAF berasaskan idea YAB Perdana Menteri Malaysia yang telah
dinyatakan secara khusus semasa lawatannya ke Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) pada 30 Disember 2003. Cetusan idea ini telah diperhalusi di peringkat
Kementerian Pelajaran melalui satu seminar j-QAF pada 3 hingga 5 Mac 2004.
Program j-QAF telah dilaksanakan secara uji kaji dalam projek rintis selama 3 bulan
dan berakhir pada Julai 2004. YAB Perdana Menteri telah bersetuju program ini
dilaksanakan mulai tahun 2005.

2. KONSEP PROGRAM j-QAF


Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam (PI) melalui
penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain
yang dilaksanakan di peringkat persekolah rendah. Pelaksanaan program ini
menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Tenaga guru
yang khusus digunakan untuk pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan,
pengayaan dan penghayatan murid. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan
jadual waktu sedia ada.

3. OBJEKTIF PROGRAM j-QAF


Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan semua murid Islam
sekolah rendah akan dapat:
a. menguasai bacaan dan tulisan Jawi;
b. khatam al-Quran;
c. menguasai asas Bahasa Arab Komunikasi; dan
d. memantapkan dan menghayati amalan fardu ain.

4. KEPENTINGAN PROGRAM j-QAF


Program j-QAF menjadi lebih penting sebagai suatu usaha ke arah memperkasakan
PI yang sedia ada supaya semua bidang dalam PI iaitu bidang Tilawah al-Quran,
Akidah, Ibadah, Sirah Nabawi, Akhlak dan Jawi lebih berkesan dan dapat dihayati
dan diamalkan dalam kehidupan.

4.1 Kepentingan Pemulihan Jawi

Jawi adalah sebahagian daripada komponen pendidikan Islam dan mula
dilaksanakan pada tahun 2003 dengan pendekatan pengajaran 2 waktu
seminggu pada 6 bulan pertama di tahun Satu. Laporan pemantauan
mengenainya mendapati penguasaan bacaan dan tulisan jawi perlu dibaiki
lagi. Ini bermakna jawi dalam pendidikan Islam semata-mata masih belum
mencukupi dan berkesan. Oleh itu pemulihan Jawi dalam j-QAF menjadi
keutamaan khasnya kepada murid tercicir supaya semua murid boleh
menguasai Jawi setelah diberi bimbingan secara berterusan.

4.2 Kepentingan Khatam al-Quran


Al-Quran pula telah diajar sebagai sebahagian Pendidikan Islam dalam bidang
Asuhan Tilawah al-Quran pada masa ini. Namun ia tidak menekankan
pembelajaran sehingga khatam al-Quran kerana ia memerlukan bimbingan
berterusan daripada bilangan guru yang sesuai dengan nisbah murid yang
menepati pendekatan talaqi dan musyafahah (iaitu satu kaedah pembelajaran
secara bersemuka dengan guru bagi mendengar, membetul kesalahan dan
menyebut semula dengan baik dan lancar). Oleh itu Pendidikan Islam pada
masa ini hanya menjurus kepada kebolehan membaca sahaja manakala
aspek khatam tidak ditekankan di sekolah tetapi menyerahkannya kepada
masyarakat.

4.3 Kepentingan Bahasa Arab


Status Bahasa Arab Sekolah Rendah pada masa ini sebagai mata pelajaran
bahasa tambahan. Ia diajar di sekolah-sekolah rendah secara berpilih dan
terhad. Tidak semua murid berpeluang mempelajarinya.

4.4 Kepentingan Fardhu Ain

Ramai ibu bapa masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian dan
penguasaan anak-anak mereka terhadap amalan fardu ain terutama dalam
hal ibadah mendirikan solat.

5. MODEL-MODEL PROGRAM j-QAF

Untuk pelaksanaan 2005 lima model telah dikenalpasti iaitu 4 model pengajaran dan
1 model kokurikulum. Model-model berkenaan adalah seperti berikut:
a. model Kelas Pemulihan Jawi;
b. model Tasmik;
c. model 6 bulan Khatam al-Quran;
d. model Pelaksanaan Perluasan Bahasa Arab Komunikasi;
e. model Bestari Solat (kokurikulum).

Pengukuhan program j-QAF hendaklah dilaksanakan melalui kelab, persatuan dan
aktiviti seperti berikut;
a. Kelab Seni Tulisan Jawi;
b. Kem Bina Juara;
c. Ihtifal Khatam al-Quran;
d. Kem Literasi al-Quran; dan
e. Persatuan Bahasa Arab.

6. MODEL-MODEL j-QAF

6.1 Model Kelas Pemulihan Jawi


Model Kelas Pemulihan Jawi diperjelaskan dalam Buku Panduan Pelaksanaan
Model Kelas Pemulihan Jawi. Ia akan diajar oleh guru khas pemulihan jawi
dalam waktu yang sama dengan kelas jawi biasa di semua sekolah dengan
menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang disediakan
oleh Kementerian Pelajaran. Semua sekolah hendaklah menubuhkan Kelab
Seni Tulisan Jawi dan menjalankan aktiviti pengukuhan di peringkat sekolah
dengan menyediakan bahan-bahan bacaan tambahan yang bersesuaian serta
mempertingkatkan penggunaan kemudahan ICT sedia ada.

6.2 Model Khatam Al-Quran


Model-model khatam al-Quran diperjelaskan dalam buku Panduan
Pelaksanaan Program Khatam al-Quran Model 6 Bulan dan buku Panduan
Pelaksanaan Program Khatam al-Quran Model Tasmik.

6.2.1 Model 6 Bulan dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah
ditetapkan dengan menggunakan peruntukan waktu PI sedia ada.
Model ini akan menggunakan pendekatan talaqi dan musyafahah
(iaitu satu kaedah pembelajaran secara bersemuka dengan guru bagi
mendengar, membetul kesalahan dan menyebut semula dengan baik
dan lancar). Murid yang belum menguasai bacaan al-Quran dibimbing
dengan kaedah IQRA’, sementara yang telah menguasainya
diteruskan menggunakan model khatam al-Quran modul 6 bulan.

6.2.2 Model Tasmik pula dilaksanakan di luar waktu persekolahan normal
mengikut kesesuaian, keupayaan murid dan waktu guru tasmik yang
terdiri daripada guru j-QAF, GPI, guru-guru mata pelajaran lain yang
berkemampuan. Guru tasmik tersebut hendaklah dilantik secara rasmi
oleh pihak sekolah.

6.3 Model Perluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi

Bahasa Arab Komunikasi (BAK) yang sedang dilaksanakan secara terhad
pada masa ini di sekolah-sekolah kebangsaan akan diperluaskan
pelaksanaannya di semua sekolah. Status mata pelajaran ini adalah sebagai
mata pelajaran pilihan dan murid bukan Islam dibolehkan mengambil BAK
sekiranya tidak mengambil mata pelajaran bahasa Cina Komunikasi dan
bahasa Tamil Komunikasi. Peruntukan waktu adalah 60 minit seminggu dan
diajar oleh guru Bahasa Arab yang dilantik khusus. Model ini diperjelaskan
dalam Buku Panduan Peluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi.

6.4 Model Bestari Solat

Model Bestasi Solat diperjelaskan dalam Buku Panduan Pelaksanaan Kem
Bestari Solat. Pelaksanaannya selama dua hari tanpa bermalam dengan
kekerapan 4 kali setahun. Ia dikategorikan sebagai aktiviti kokurikulum PI dan
dimasukkan dalam takwim sekolah. Pelaksanaannya juga memerlukan
kerjasama semua pihak terutama penglibatan PIBG, guru-guru sedia ada di
sekolah dan tidak semata-mata diserahkan kepada guru pendidikan Islam.

7. PELAKSANAAN PROGRAM j-QAF

Program j-QAF akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai 2005
sehingga 2010 dengan unjuran pelaksanaannya seperti dinyatakan dalam jadual 1.
Bagi maksud ini sebanyak 1221 buah sekolah akan terlibat pada tahun 2005. Adalah
dijangka pada tahun 2010 bilangan sekolah akan menjadi sebanyak 7835 buah.

0 comments

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

SHAUTUL IKHWAN 2010/2011.....

 


Blogger Template By j-QAF SK SUNGAI RENGIT