KUMPULAN NASYID SKSR 2010/2011 : SHAUTUL IKHWAN......

Monday, September 28, 2009



SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.



Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri. Nabi saw memberitahu mereka, "Sesungguhnya Allah swt telah mengurniakan 2 hari yang mempunyai kebaikan di dalamnya, iaitu hari Eidul-Fitr dan hari Eidul-Adha." Riwayat Abu Daud, 1134

Sabda Nabi saw kepada Abu Bakar r.a., "Setiap kaum ada perayaan, dan ini adalah perayaan kita" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini merujuk kepada 2 perayaan Eid yang khusus bagi orang Islam.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, iaitu jika dilakukan akan terbatal puasanya. Lantaran itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal`Aidul Fitri berasal dari perkataan`aid adalah diambil dari kata al-`audu (kembali). Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."

Selanjutnya taip di sini untuk paparan penuh.

Baca Selanjutnya..

Friday, September 11, 2009



Antara kelebihan malam 10 terakhir Ramadan adalah;

~ Nabi Muhammad saw memperbanyakkan ibadat pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya. Saidatina Aisyah berkata maksudnya;
“Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


~ Pada malam 10 terakhir ada satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak).Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1)

Ibn Abbas berkata : “Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfur ke Bait al-E'zzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 25 tahun.

~ Lailatul Qadar disifatkan lebih baik daripada 1,000 bulan. Perkara ini seperti firman Allah bermaksud : “Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadar, ayat 3)

~ Malam ini juga disifatkan sebagai malam berkat, firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

~ Pada malam ini juga turunnya malaikat. Malaikat turun bersama-sama berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.

~ Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Allah bermaksud : “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4). Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ adalah pada malam itu Allah menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.

~ Allah mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

Bilakah Lailatul Qadar? Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam 10 terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Rasulullah bersabda lagi bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir.” (Hadis riwayat Bukhari). Imam Nawawi berpendapat bahawa memandangkan hadis yang menceritakan mengenai Lailatul Qadar berselisih pada waktunya, maka ini menunjukkan bahawa malam itu berpindah-pindah pada setiap tahun. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: katakanlah (maksudnya) : “Ya Allah, sesungguhnya engkau Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Pengampun, maka ampunkan dosa-dosaku.”

~ Iktikaf pada malam 10 terakhir Ramadan yang mana fadilatnya lebih banyak daripada hari biasa. Maksud iktikaf di sini adalah mendampingi masjid untuk mentaati Allah.

Baca Selanjutnya..

Thursday, September 10, 2009

Salam bertemu kepada semua pengunjung blog jqafsksr.Penggunaan komputer begitu meluas pada masa kini segala urusan banyak menggunakan kemudahan komputer.seseorang yang menggunakan komputer perlu mengetahui banyak kemahiran.Salah satu daripadanya ialah kemahiran menaip..adakah kita mengetahui sejauh mana ketangkasan kita menaip dalam masa 1 minit?jadi, untuk mengetahui kemampuan kita cubalah laman dibawah..selamat mencuba..

15 perkataan

Speedtest

Baca Selanjutnya..

Monday, September 7, 2009



Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.




‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)


BILA DAN BAGAIMANA AL-QURAN DITURUNKAN

Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.
Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.
Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.
Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.
Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.



Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin

SHAUTUL IKHWAN 2010/2011.....

 


Blogger Template By j-QAF SK SUNGAI RENGIT